Join us on Facebook

Please wait.. 10 Seconds Cancel

Current song: Loading ...
Stream title:
Server status:
Winamp, iTunes Windows Media Player Real Player QuickTime Web Proxy

Wednesday, June 5, 2013

MICHELLE YEOH DI LANTIK MENTOR PERTAMA iM4U

Tan Sri Michelle Yeoh ketika sidang media selepas menerima watikah perlantikan Mentor 1M4U di pejabat Perdana Menteri hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Pelakon filem antarabangsa Tan Sri Michelle Yeoh dilantik sebagai mentor pertama 1Malaysia For Youth (iM4U).
   
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyerahkan watikah pelantikan kepada Yeoh di Pejabat Perdana Menteri di Kompleks Perdana Putra di sini.
   
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan anggota Lembaga Pemegang Amanah iM4U Datuk Irmohizam Ibrahim.
   
Penubuhan iM4U adalah hasil ilham Najib, yang juga pengerusi Lembaga Pemegang Amanah iM4U, sebagai wadah untuk belia Malaysia menjalankan kegiatan kesukarelaan dan pembinaan negara bangsa untuk manfaat masyarakat dan kumpulan sosial.
   
Pelantikan sebagai mentor iM4U adalah sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian luar biasa rakyat Malaysia dalam membangunkan negara dan sebagai model peranan untuk belia.
   
Sebagai mentor iM4U, inisiatif pertama Yeoh ialah bekerjasama dengan iM4U untuk menyusun kempen bagi menentang jenayah, dengan memberi fokus di kawasan yang mendedahkan wanita kepada bahaya seperti tempat meletak kenderaan, kawasan berdekatan stesen LRT dan hentian bas.
   
"Saya menjadi amat tidak keruan apabila mendengar tentang wanita, terutama yang mengalami trauma di tempat meletak kenderaan akibat perbuatan peragut. Kami akan mencari jalan untuk meningkatkan kesedaran ke arah menjadikan Malaysia lebih selamat. Sebaik saja kempen ini bersedia untuk dilaksanakan, kami akan mengumumkannya," kata Yeoh kepada pemberita di sini hari ini.

Yeoh, yang juga Duta Global Make Roads Safe yang diselaraskan Yayasan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) bagi Automobil dan Masyarakat, berkata keselamatan jalan raya amat dekat di hatinya.
    
"Walaupun saya berkempen di seluruh dunia untuk keselamatan jalan raya, tapi ada sesuatu yang ingin saya lakukan di sini.
    
"Dalam perbualan saya dengan perdana menteri, beliau berkata 6,000 maut akibat kemalangan jalan raya setiap tahun. Setiap kematian mempunyai kesan yang lain pula. Jika yang maut itu adalah pencari nafkah atau seorang anak muda, ia merupakan suatu kehilangan besar untuk negara," katanya.
    
Mengenai pelantikan beliau sebagai mentor iM4U, Yeoh berkata beliau berasa bertuah kerana dapat memberi sumbangan kepada negara.
    
"Beliau (perdana menteri) mengucapkan terima kasih kepada saya kerana sudi menjadi mentor pertama iM4U. Saya memberitahu beliau bahawa saya berasa sungguh bertuah. Memang niat saya untuk kembali ke tanah air bagi memberi lebih banyak sumbangan...saya akan pulang untuk melakukan lebih banyak lagi. Malaysia amat dihormati di luar negara dan saya mahu dunia mengetahui bahawa negara saya begitu indah.

"Tahun depan, kita ada Tahun Melawat Malaysia dan para belia boleh memberi banyak bantuan dan menjadikan pengunjung ke negara kita lebih tertarik dengan apa yang ada di sini dan saya mahu mereka berasa selamat, santai dan gembira," katanya sambil menambah bahawa semangat kesukarelaan perlu dipupuk dalam diri para belia.
    
Sementara itu, Yeoh mengesahkan beliau akan berlakon dalam filem 'Crouching Tiger, Hidden Dragon 2'.
    
"Saya sedang berusaha sedaya upaya agar filem ini dibuat penggambarannya di Pinewood Iskandar Malaysia Studios," kata pelakon terkenal itu. - Bernama