Join us on Facebook

Please wait.. 10 Seconds Cancel

Current song: Loading ...
Stream title:
Server status:
Winamp, iTunes Windows Media Player Real Player QuickTime Web Proxy

Thursday, July 25, 2013

NIAT BELI BAJU RAYA TERKUBUR


KEMAMAN– Keinginan dua sepupu untuk membeli baju raya di kedai ibu saudara mereka terkubur apabila terbunuh dalam nahas tragis di Kilometer 158.4, Jalan Kuala Terengganu – Kuantan, dekat kawasan lampu isyarat Paya Berenjut, malam semalam.

Mohd Jabir Mohd Nasir, 18, dan abang sepupunya, Abdul Aziz Mohd Ghaffar, 19, maut serta merta setelah motosikal jenis Yamaha 135 LC yang ditunggangi mereka berlanggar dengan sebuah kereta Honda Accord,
menyebabkan kedua-duanya tercampak ke atas jalan dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam.

Faridah Abdul Karim, 32, berkata, dia tersentak mendengar berita kematian itu kerana baru sahaja berhubung menerusi telefon dengan Mohd Jabir pada jam 8 malam iaitu kira-kira sejam sebelum tragedi itu terjadi.

“Jabir hubungi saya dan beritahu dia mahu datang ke kedai saya di Kompleks Beli Belah Centre Point Kemaman, Chukai dengan adik sepupunya untuk beli baju, seluar dan beg raya. Masih terngiang-ngiang lagi kata-katanya di cuping telinga saya, dia cakap ‘kita nak beli baju raya’ dan dia cakap begitu sambil ketawa.

“Dia kedengaran sangat ceria, biasanya dia tak begitu. Ketika dia hubungi, saya berada di rumah kerana balik berbuka puasa, namun apabila kembali semula ke kedai saya menerima berita sedih ini. Mungkin ketika dia telefon saya, dia dan adik sepupunya sudah berada depan kedai saya,” katanya semasa ditemui di Unit Forensik, Hospital Kemaman.

Berkawan rapat sejak kecil

Dalam nahas itu, kedua-dua mangsa dari arah Chukai menghala ke Kuantan untuk pulang semula ke rumah mereka di Kampung Kubang Ikan, Cherating, Kuantan sementara kereta dari arah Kuantan dan mahu membelok masuk ke Taman Perumahan Perwaja, Geliga.

Difahamkan, disebabkan kedai ibu saudaranya masih belum dibuka, kedua-duanya hanya membeli kad sim telefon di Kompleks Beli Belah Centre Point sebelum bergegas pulang semula ke rumah bagi menunaikan solat terawih di surau kampung mereka.

Akibatnya, Mohd Jabir yang merupakan anak kelapan dan menjadi pembonceng, pecah kepala sementara Abdul Aziz yang menunggang motosikal itu mengalami kecederaan dalaman.

Kedua-dua mereka bekerja dengan bapa Mohd Jabir sebagai pembantu lori pembekal ais dan kedua-duanya berkawan rapat sejak kecil dan seperti belangkas kerana sering bersama-sama ke mana sahaja pergi termasuk tidur sebilik.

Makan tiga pinggan nasi

Sementara itu, kakak Mohd Jabir, Siti Hasanah, 20, berkata, pada waktu sahur, adiknya itu berkelakuan pelik kerana makan tiga pinggan nasi walaupun dia hanya memasak sebiji telur dadar.

“Hanya saya dan dia sahaja yang bangun sahur dan bila lihat dia makan sangat selera, saya bertanya kepadanya. Dia jawab ‘sayang kalau tak habiskan telur dadar’.

“Semasa saya angkat air batu bersamanya untuk dihantar ke kedai pada waktu petang sebelum kemalangan juga, arwah agak pelik kerana dia memunggah air batu dengan cepat dan terkeluar dari mulutnya waktu itu ‘aku nak pergi dah, bosan tengok muka kamu semua’. Saya pelik dengan tingkah lakunya itu, tapi tak sangka itu jadi petanda saya sekeluarga akan kehilangannya,” katanya.

Buka puasa tergesa-gesa

Ibu Mohd Jabir, Siti Hawa Abdul Karim, 51, berkata, arwah anaknya itu makan dengan tergesa-gesa sewaktu berbuka puasa namun dia sangka anaknya itu mahu pergi ke surau bersama sepupunya kerana sejak beberapa hari
lalu, mereka berdua tidak tinggal solat terawih.

Dalam pada itu, kakak Abdul Aziz, Siti Zubaidah memberitahu, sejak beberapa hari lalu, adiknya itu berbuka puasa di rumah mereka dan tidak di rumah Mohd Jabir seperti kebiasaannya.

“Sebab terlalu rapat, adik saya banyak habiskan masa di rumah Jabir yang tak jauh dengan rumah kami dan berbuka puasa di situ, tetapi sejak akhir-akhir ini, bila waktu berbuka dia balik ke rumah.

"Pada bulan lepas dia ada cakap, ‘kalau dia ada, Jabir ada dan kalau Jabir tiada, dia pun tiada’ dan kami tak duga keakraban mereka ni berakhir dengan mereka meninggal dunia bersama-sama,” katanya sebak.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam yang mengesahkan kejadian itu berkata, akibat kemalangan itu, motosikal yang dinaiki rosak teruk dan hasil bedah siasat mendapati Mohd Jabir meninggal disebabkan kecederaan parah pada kepala dan Abdul Aziz pula disebabkan pendarahan dalam paru-paru akibat hentakan kuat pada bahagian dada.